Selamat Datang

SELAMAT DATANG KE RIEZERZ.BLOGSPOT.COM. SEMOGA ILMU YANG DIPEROLEHI DAPAT DIMANFAAT BERSAMA.....

Selasa, 31 Julai 2012

Apa Itu Syair


 Syair

Syair merupakan sejenis puisi berlagu. Ia berasal dari Parsi dan telah dibawa masuk ke Nusantara bersama-sama dengan kedatangan Islam. Syair telah diubahsuaikan mengikut kesesuaian Bahasa Melayu Klasik ketika itu. Namun begitu, A. Teeuw berpendapat bahawa syair merupakan puisi Melayu lama yang telah sedia wujud tetapi namanya telah ditukar.

Terdapat bukti bahawa bentuk syair itu sendiri telah wujud sebelum kejatuhan Kerajaan Melaka, sebagaimana yang tersurat dalam kata-kata yang tertulis pada sebuah batu nisan tua yang telah dijumpai di Minye Tujuh, Acheh, bertarikh kira-kira pada T.M. 1380 itu, ialah berbentuk syair; begitu juga hasil-hasil sastera yang berbentuk syair bait, seloka, gurindam, istimewa pula pantun, harus telah sedia diketahui oleh orang Melayu sebelum zaman kejatuhan Melaka atau pun tatkala buku Sejarah Melayu dikarang; buktinya boleh dipastikan dalam kisah "Meminang Puteri Gunung Ledang" di dalam buku Sejarah Melayu itu, yang menyebutkan demikian
"…….segala burung di dalam taman itu pun berbunyi, pelbagai bunyinya, ada yang seperti orang bersiul, ada yang seperti orang berbangsi, ada yang seperti orang bersyair, ada yang seperti orang ber­bait, ada yang seperti orang berseloka, ada yang seperti orang bergurindam "

Isnin, 30 Julai 2012

Bentuk Pantun


Bentuk Pantun

Umumnya, pantun Melayu terbina dalam bentuk berangkap, mengandungi bahagian pembayang/sampiran dan maksud. Bentuk pantun terbahagi kepada rangkap pantun dua baris/kerat, empat baris/kerat, enam baris/kerat, lapan baris/kerat, dua belas baris/kerat dan tiga puluh baris/kerat. Rima pantun pula tersusun dalam bentuk yang tetap seperti ab/ab atau abc/abc dan seterusnya. Walau bagaimanapun, penciptaan pantun di Alam Melayu memperlihatkan pelbagai ciri kreativiti masyarakat setempat hingga melahirkan beberapa ciri kelonggaran dalam bentuk dan rima pantun yang dihasilkan. Rujuk Harun Mat Piah, 1989, Puisi Melayu Tradisional, untuk huraian terperinci tentang bentuk pantun Melayu. 

Pantun Dua Baris

Ada ubi ada batas,
Ada budi ada balas.

Sebab pulut santan binasa,
Sebab mulut badan merana.

Ahad, 29 Julai 2012

Apa Itu Pantun


Pantun

Pantun ialah bentuk puisi Melayu yang asli dan unik. Ia merupakan sumber khazanah dalam kehidupan masyarakat di Alam Melayu, baik dari segi pemikiran, kesenian, maupun nilai-nilai moral dan sosialnya. Akalbudi orang Melayu dapat dilihat dalam pantun yang diungkapkan secara spontan dengan begitu ringkas dan padat. Ini termasuklah kebijaksanaan dan ketangkasannya menjana makna yang dalam dan mengukir gerak hati serta lukisan rasa yang indah bersama penampilan unsur-unsur alam.

     Pantun wujud dalam pelbagai bentuk dan wajah, dari pantun dua kerat dan pantun empat kerat sehingga ke pantun berkait. Genre ini menduduki tempat yang penting dalam kehidupan masyarakat Melayu, justeru diungkapkan dalam permainan kanak-kanak, dalam percintaan, upacara peminangan dan perkahwinan, nyanyian, dan upacara adapt. Pendeknya setiap tahap kehidupan manusia Melayu, yakni dari dalam buaian hingga ke alam percintaan dan hari-hari tua, dibantu dan dihiasi oleh pantun.

Puisi Melayu


Banyak daripada puisi Melayu tergolong dalam genre tradisional yang muncul dalam zaman sebelum berkembangnya tradisi tulisan pencetakan. Puisi dalam Bahasa Melayu larut dalam jiwa masyarakat Melayu tidak hanya sebagai satu hasil kesenian, tetapi juga mengjangkau alam mistik, berperanan sebagai wadah pemeliharaan adat, pembinaan sahsiah, pengajaran agama, pengajaran ilmu pengasih, pertahanan, hiburan, dan kepercayaan.

Tidak dapat dipastikan tarikh sebenar sejarah mula perkembangan puisi Melayu tradisional. Berdasarkan kajian oleh ramai sarjana, dapat dikatakan perkembangan puisi Melayu tradisional telah bermula secara bersama dan sezaman dengan perkembangan prosa Melayu tradisional. Ini dapat dibuktikan dengan kehadiran banyak genre puisi tradisional dalam karya hikayat dan cerita-cerita rakyat.

Definisi lama puisi ialah karangan berangkap. Karangan ini terikat kepada bentuknya yang khusus dan tetap, sama ada pada jumlah perkataan dalam baris, jumlah baris dalam rangkap, rima dan irama, dan jumlah suku kata. Menurut sasterawan negara, Za'ba, puisi ialah karangan berangkap yang khas dipakai untuk melafazkan fikiran yang cantik dengan bahasa yang indah, dan melukiskan kemanisan dan kecantikan bahasa.