Mantera
Istilah mantera berasal daripada kata mantra,
mantr, atau matar, dalam Bahasa
Sanskrit yang bermaksud nyanyian memuja tuhan atau pemujaan
penyebutan kata-kata tertentu bagi memperolehi sesuatu yang dihajatkan yang
mempunyai kesamaan dengan jampi serapah, tawar, sembuh, cuca, puja, dan
takal. Keakraban masyarakat Melayu silam dengan alam sekitar
mendorong kepada timbulnya kepercayaan-kepercayaan bahawa alam sekitar
mempunyai pengaruh dan kuasa yang menentukan sesuatu perkara dalam kehidupan mereka.
Kepercayaan ini berkait rapat dengan pengaruh animisme
yang diwarisi secara turun-temurun. Dari situ timbullah unsur-unsur kuasa magis
seperti semangat dan roh
yang dianggap sebagai memberi kesan kepada sesuatu perkara yang dihajati secara
langsung kepada unsur-unsur magis tersebut. Pawang atau bomoh adalah ahli-ahli
penting yang menguasai dan mengamalkan mantera. Mereka membaca mantera dengan nada, irama, dan tekanan
suara yang tertentu sesuai dengan tujuan
perbomohan atau sesuatu perkara yang dihajati.
Mantera tergolong dalam kelompok puisi, kerana
pengucapan dalam bentuk mantera menggunakan kata-kata yang tersusun dalam
bentuk rangkap, mempunyai makna yang tersirat, bahasa yang padat puitis.
Mantera boleh digolongkan sebagai sejenia puisi Melayu tradisional berbentuk
bebas, kerana tidak terikat kepada jumlah baris yang sama dalam satu-satu
rangkap, manakala rima akhirnya pula tidak tetap.
Berikut adalah contoh mantera :
Puja Padi
Seri Dangomala, Seri Dangomali!
Hendak kirim anak sembilan bulan;
Segala inang, segala pengasuh;
Jangan beri sakit, jangan beri demam,
Jangan beri ngilu dan pening;
Kecil menjadi besar;
Tua menjadi muda;
Yang tak kejap diperkejapkan;
Yang tak sama dipersamakan;
Yang tak tinggi dipertinggikan;
Hijau seperti air laut;
Tinggi seperti bukit Kaf.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan