Selamat Datang

SELAMAT DATANG KE RIEZERZ.BLOGSPOT.COM. SEMOGA ILMU YANG DIPEROLEHI DAPAT DIMANFAAT BERSAMA.....

Jumaat, 31 Ogos 2012

Jumaat, 24 Ogos 2012

Hubungan Makna


Melihat hubungan makna antara satu perkataan dengan perkataan lain.
Kajian semantik tradisional:

    i. Sinonim
    ii. Antonim
    iii. Homonim
    iv. Hiponim
    v. Polisemi

SINONIM:
Dua perkataan atau lebih yang maknanya hampir sama atau maknanya seolah-olah sama.

Contoh:
 cantik boleh disinonimkan dengan indah
 indah boleh disinonimkan dengan cantik

Ahad, 19 Ogos 2012

Selamat Hari Raya Aidil Fitri 1433H

Selamat Hari Raya Aidil Fitri 1433H daripada saya sekeluarga buat semua umat Islam di Malaysia. Maaf zahir dan batin.

Jumaat, 17 Ogos 2012

Kenali Nazam


Nazam

Nazam merupakan sebuah puisi klasik Melayu pengaruh Arab. Pada zaman dahulu,
pedagang -pedagang dari Asia Barat atau Timur Tengah iaitu Arab dan Parsi telah
datang ke Melaka untuk berdagang. Selain berniaga. mereka juga mengajar agama
Islam kepada penduduk tempatan. Selain kitab suci AI-Quran. kitab-kitab Hadis.
Kitab Tauhid, Fekah, Tasauf dan Tajwid juga diperkenalkan. Selain itu, mereka juga
memperkenalkan Kitab Berzanji yang di dalamnya mengandungi pelbagai puisi Arab
seperti Ratib. Berzanji. Syair, Burdah, Qasidah, Nasyid. Thamsil, Rubai. Kithah,
Masnawi, Marhaban, Ghazal, Bayt dan Nazam.

Nazam merupakan salah satu jenis puisi lama yang telah wujud lebih 100 tahun yang lalu. Nazam yang seakan-akan menyerupai nasyid tetapi ia boleh didendangkan secara perseorangan atau berkumpulan secara sponton oleh kaum wanita ketika menganyam tikar, membuat ketupat,
menidurkan anak dan sebagainya.

Khamis, 16 Ogos 2012

Tatabahasa - Kata Ganti Nama


Kata Ganti Nama

Perkataan Ganti Nama ialah perkataan yang menggantikan perkataan NAMA.
Perkataan Gantinama ini dibahagikan kepada lima bahagian iaitu Gantinama Diri, Gantinama Umum, Gantinama Pertanyaan, Gantinama Petunjuk dan Gantinama Sendi.
Kata ganti diri ialah kata yang digunakan untuk menggantikan kata nama orang.

Kata ganti diri terdiri daripada:
(a)kata ganti diri (pertama, kedua, dan ketiga);
(b)kata ganti diri singkat;
(c) kata ganti tanya;
(d) kata ganti tempat; dan
(e) kata ganti tak tentu.

Rabu, 15 Ogos 2012

Tatabahasa - Kata Bantu


Kata Bantu

Kata bantu ialah kata yang digunakan untuk menerangkan masa sesuatu perbuatan atau ragam yang berkaitan dengan perbuatan.

Contoh
 Akan
 Belum
 Masih
 Telah
 Sudah
 Harus
 Boleh
 Dapat
 Hendak
 Mesti
 
 

1.     Kereta api dari utara telah sampai.
2.     Awak patut menyiapkan tugas ini dengan segera.
3.     Adik Rahimah belum tahu berjalan.
4.     Ayah dapat menyiapkan tugas ini dengan segera.
5.     Encik Borhan hendak pergi memancing esok.

Selasa, 14 Ogos 2012

Kenali Talibun


Talibun

Definisi umum bagi talibun menurut Kamus Dewan (2005) ialah sejenis puisi lama yang terdiri daripada empat baris, enam baris, atau dua puluh baris yang bersajak di hujungnya. Talibun disebut juga dengan nama seromba dan mempunyai bentuk yang hampir sama dengan prosa lirik atau prosa berirama. Walau bagaimanapun, talibun berbeza dengan prosa lirik dan prosa berirama kerana talibun merupakan sebahagian sahaja daripada cerita yang diambil prosa lirik.

Talibun mengungkap persoalan yang berbagai bergantung kepada konteks cerita induknya. Lazim isi talibun, fenomena alam, perasaan, dan tradisi yang terdapat dalam sesebuah cerita lipur lara berkisar kepada pelbagai perkara dan objek; seperti senjata, pakaian, kenderaan, negeri, perlakuan manusia.

Isnin, 13 Ogos 2012

Tatabahasa - Kata Adjektif


Kata Adjektif (Kata Sifat)

Kata Adjektif  ialah perkataan yang menerangkan sifat atau keadaan sesuatu
kata nama seperti hitam, besar, kuat, banyak dan sedikit. sifat atau keadaan sesuatu benda, orang, tempat, binatang, dan sebagainya.

Kata adjektif juga dikenal sebagai kata sifat.

A. Jenis-jenis kata Adjektif
Kata adjektif boleh disertai kata keterangan amat, paling, sangat, dan sebagainya yang bertugas sebagai penguat.
Contohnya; sangat cantik, amat rajin, paling tinggi, dan sebagainya.

1. Adjektif Jati
          Ia menerangkan sifat atau rupa yang jati.
          Contoh
          Buku itu berwarna biru.
          Budak kurus itu kawan saya.

Sabtu, 11 Ogos 2012

Kenali Mantera


Mantera

Istilah mantera berasal daripada kata mantra, mantr, atau matar, dalam Bahasa Sanskrit yang bermaksud nyanyian memuja tuhan atau pemujaan penyebutan kata-kata tertentu bagi memperolehi sesuatu yang dihajatkan yang mempunyai kesamaan dengan jampi serapah, tawar, sembuh, cuca, puja, dan takal. Keakraban masyarakat Melayu silam dengan alam sekitar mendorong kepada timbulnya kepercayaan-kepercayaan bahawa alam sekitar mempunyai pengaruh dan kuasa yang menentukan sesuatu perkara dalam kehidupan mereka. 

Kepercayaan ini berkait rapat dengan pengaruh animisme yang diwarisi secara turun-temurun. Dari situ timbullah unsur-unsur kuasa magis seperti semangat dan roh yang dianggap sebagai memberi kesan kepada sesuatu perkara yang dihajati secara langsung kepada unsur-unsur magis tersebut. Pawang atau bomoh adalah ahli-ahli penting yang menguasai dan mengamalkan mantera. Mereka membaca mantera dengan nada, irama, dan tekanan suara yang tertentu sesuai dengan tujuan perbomohan atau sesuatu perkara yang dihajati.

Jumaat, 10 Ogos 2012

Tatabahasa - Penjodoh Bilangan


Penjodoh Bilangan
 
Penjodoh bilangan digunakan sebelum sesuatu kata atau nama yang menunjukkan jumlah atau bilangan.

Kadangkala kata bilangan disertai penjodoh bilangan seperti batang, buah, ekor, orang, dan sebagainya.

Khamis, 9 Ogos 2012

Tatabahasa - Kata Ganda


KATA GANDA

Kata Gandaan ialah satu proses pengulangan perkataan.
Kata ganda ialah kata yang terbentuk daripada kata yang digandakan sama ada sebahagian atau seluruhnya.

Proses pengulangan ini berlaku pada seluruh perkataan ataupun pada bahagian-bahagian tertentu dalam perkataan tersebut.

Kata ganda terdiri daripada:
          (a) kata ganda seluruh;
          (b) kata ganda semu;
          (c) kata ganda separa;
          (d) kata ganda bersajak atau berima;
          (e) kata ganda berimbuhan.

Terdapat empat jenis kata gandaan iaitu :
a. Gandaan Seluruh Kata
b. Gandaan Separa / Separuh
c. Gandaan Berirama
d. Gandaan Menyaling

Rabu, 8 Ogos 2012

Syair Siti Zubaidah - Roslan Madun

Tatabahasa - Kata Hubung


Kata Hubung
 
Kata hubung ialah perkataan yang digunakan untuk menggabungkan perkataan dengan perkataan rangkai kata dengan rangkai kata ayat dengan ayat.

Kata hubung terbahagi kepada tiga iaitu:
(a)    kata hubung gabungan,
(b)    kata hubung pancangan,
(c)    kata hubung berpasangan.

Selasa, 7 Ogos 2012

Sajak Tetamu Senja - A. Samad Said

Peribahasa Berangkap


Peribahasa Berangkap

Peribahasa tergolong dalam jenis puisi warisan Melayu dan sangat banyak ditemui dalam kesusasteraan Melayu tradisional. Peribahasa juga disebut dengan nama peribahasa berirama dan mempunyai beberapa variasi seperti bidalan, pepatah-petitih, perbilangan, perumpamaan, lidah pendeta, kias ibarat, dan tamsil. Dari segi bentuk, peribahasa berangkap terbina dalam dua keratan yang sejajar, baik dalam dalam sebaris atau lebih. Tidak sebagaimana pantun, baris-baris dalam peribahasa tidak berkaitan antara satu sama lain.

Peranan peribahasa dalam majlis-majlis rasmi mahupun dalam kehidupan seharian mereka adalah sebahagian daripada budaya Melayu yang sopan walau semasa menegur, menyindir atau mengkritik secara halus. Peribahasa juga berfungsi sebagai alat kawalan sosial dan pemantapan sesuatu sistem sosial dalam kemasyarakatannya dan media yang mempamerkan kebijaksanaan penutur atau pewarisnya

Tatabahasa - Kata Kerja


Kata Kerja
 
Kata kerja terbahagi kepada :
A. Kata Kerja Transitif  ( Perbuatan Melampau )
B. Kata Kerja Tak Transitif ( Perbuatan tidak Melampau )


A. Kata Kerja Transitif

1. Kata Kerja Transitf ialah segala perbuatan yang dilakukan oleh pembuatnya kepada benda lain. Benda yang kena oleh perbuatan itu dipanggil penyambut ( objek ).

2. Ayat ini mesti ada penyambutnya ( objek )

3. Kata kerja ini biasanya mempunyai imbuhan ‘me-‘ sama ada sebagai awalan atau sebahagian daripada imbuhan contohnya mengambil, mendermakan, membacakan, menduduki, mempersilakan.

Kata kerja transitif ialah kata kerja yang mesti disertai oleh objek, iaitu kata nama.
Contohnya: Atan mendengar radio.
        mendengar ialah kata kerja transitif
        radio ialah objek (kata nama)

Isnin, 6 Ogos 2012

Kenali Teromba


Teromba

Teromba terkenal dalam orang Minang yang kuat berpegang kepada adat Perpatih. Teromba juga dikenali dengan nama-nama seperti terasul, tambo, dan salasilah. Sesebuah teromba lazimnya mengungkapkan gagasan pemikiran yang tinggi berkenaan peraturan, nilai, adat, dan hukum-hukum hidup bermasyarakat.

Terdapat banyak pengertian teromba; ada yang menyatakan bahawa teromba sebagai perbilang adat, undang-undang yang tetap dan kata-kata adat. Dari segi bentuk, teromba berbentuk bebas. Jumlah baris dalam setiap rangkapnya tidak tetap, manakala rima akhir setiap baris pula tidak sama. Di dalam sebuah teromba disisipkan dengan beberapa jenis puisi tradisional lain, seperti pantun, gurindam, dan peribahasa. Contoh teromba adalah seperti berikut:

Selamat Menyambut Nuzul Quran 1433H

Selamat menyambut Nuzul Quran 1433H kepada semua umat Islam di Malaysia.

Tatabahasa - Kata Nama


KATA NAMA

Perkataan NAMA terbahagi kepada dua bahagian yang besar iaitu NAMA BETUL dan GANTI NAMA dan satu lagi dipanggil NAMA TERBITAN.

a) Kata Nama Am ( Betul atau Biasa )
b) Kata Nama Khas
c) Kata Ganti Nama
d) Kata Nama Terbitan
e) Kata bilangan


Nama Betul

Nama betul dibahagi kepada dua jenis iaitu Nama Am dan Nama Khas.

Nama Am

Kata Nama Am ialah kata yang digunakan untuk menjelaskan nama sesuatu yang bernyawa seperti orang, haiwan, dan sesutu yang tidak bernyawa seperti tumbuh-tumbuhan, tempat , benda, dan sebagainya. Dengan kata lain perkataan Nama Am digunakan bagi menyebut sesuatu secara am atau umum.

Seloka Pak Kaduk - Roslan Madun

Ahad, 5 Ogos 2012

Sajak Guru Oh Guru - Usman Awang


GURU OH GURU

Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi.

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.


Sabtu, 4 Ogos 2012

Kenali Sajak


Sajak
  • Sajak mengungkapkan perasaan dan pemikiran penyair secara imaginatif dan disusun dengan menumpukan semua kekuatan bahasa, serta bentuk luaran dan bentuk dalaman.
  • Sajak adalah puisi baharu yang bebas daripada peraturan-peraturan dalam pembentukan rangkap, baris, kata-kata dan rima.
  • Sajak bersifat demikian untuk dapat mengucapkan fikiran penyair dalam cara yang lebih indah, segar dan bebas.
Sifat-sifat Sajak
  • Tidak mempunyai imbangan bunyi yang tetap
  • Sajak tidak semestinya mengemukakan pertentangan bunyi atau rima akhir di hujung tiap-tiap baris ayat atau dimana-mana juga.
  • Mempunyai rangkap, tetapi bilangan baris ayat pada serangkap tidaklah tetap.
  • Mempunyai baris-baris ayat yang membangunkan rangkap.
  • Mempunyai keharmonian atau penyesuaian yang baik antara isi dengan bahasa.

Jumaat, 3 Ogos 2012

Kenali Seloka


Seloka

Seloka merujuk kepada puisi Melayu bebas yang tidak mempunyai bentuk tertentu dari segi rangkap, jumlah baris, sama ada mempunyai irama atau tidak. Secara amnya,, ia terdiri daripada ungkapan sejajar yang melebihi daripada dua baris, mempunyai kadensa yang sama seperti talibun dan prosa berirama.

Satu ciri penting bagi seloka adalah ia mempunyai maksud mengejek, menyindir secara serius atau jenaka, mengkritik tingkah-laku dan sifat negatif.
Antara contoh seloka yang terdapat dalam kesusasteraan Melayu lama adalah :-
  • Seloka Emak Si Rendang
  • Seloka Pak Kaduk
  • Seloka Pak Pandir

Khamis, 2 Ogos 2012

Gurindam Nasihat



Apabila banyak berkata-kata,
Di situlah jalan masuk dusta.

Apabila kita kurang siasat,
Itulah tanda pekerjaan hendak sesat.

Apabila anak tidak dilatih,
Jika besar bapanya letih.

Apabila banyak mencela orang,
Itulah tanda dirinya kurang.

Rabu, 1 Ogos 2012

Kenali Gurindam


Gurindam

Gurindam merupakan sejenis bentuk puisi yang tidak terikat atau tiada tentu bentuknya (sama ada terikat atau tidak). Bentuk yang terikat biasanya terdiri daripada dua baris serangkap, menyerupai syair dua baris atau nazam. Setiap baris biasanya mengandungi tiga atau empat, enam atau lebih perkataan; dan pola rima a-a; a-b atau serima (monoryme). Tiap serangkap merupakan sebahagian daripada idea yang berturutan dan biasanya memerlukan beberapa baris atau rangkap untuk menyatakan keseluruhan idea.

Bentuk yang tidak terikat tergolong sebagai puisi bebas, sama ada berangkap atau tidak. Walaupun setiap rangkap dapat berdiri sendiri tetapi biasanya memerlukan beberapa baris atau rangkap untuk menyatakan satu keseluruhan idea.

Dari segi bentuk ia sama seperti talibun, teromba atau mantera; tetapi tergolong sebagai gurindam kerana isinya mengandung nasihat, pengajaran dan kebenaran, berbeza dengan mantera. Gurindam tidak mengandung unsur sihir; dan berbeza dengan teromba, ia tidak merujuk kepada salasilah atau undang-undang setempat.

Selasa, 31 Julai 2012

Apa Itu Syair


 Syair

Syair merupakan sejenis puisi berlagu. Ia berasal dari Parsi dan telah dibawa masuk ke Nusantara bersama-sama dengan kedatangan Islam. Syair telah diubahsuaikan mengikut kesesuaian Bahasa Melayu Klasik ketika itu. Namun begitu, A. Teeuw berpendapat bahawa syair merupakan puisi Melayu lama yang telah sedia wujud tetapi namanya telah ditukar.

Terdapat bukti bahawa bentuk syair itu sendiri telah wujud sebelum kejatuhan Kerajaan Melaka, sebagaimana yang tersurat dalam kata-kata yang tertulis pada sebuah batu nisan tua yang telah dijumpai di Minye Tujuh, Acheh, bertarikh kira-kira pada T.M. 1380 itu, ialah berbentuk syair; begitu juga hasil-hasil sastera yang berbentuk syair bait, seloka, gurindam, istimewa pula pantun, harus telah sedia diketahui oleh orang Melayu sebelum zaman kejatuhan Melaka atau pun tatkala buku Sejarah Melayu dikarang; buktinya boleh dipastikan dalam kisah "Meminang Puteri Gunung Ledang" di dalam buku Sejarah Melayu itu, yang menyebutkan demikian
"…….segala burung di dalam taman itu pun berbunyi, pelbagai bunyinya, ada yang seperti orang bersiul, ada yang seperti orang berbangsi, ada yang seperti orang bersyair, ada yang seperti orang ber­bait, ada yang seperti orang berseloka, ada yang seperti orang bergurindam "

Isnin, 30 Julai 2012

Bentuk Pantun


Bentuk Pantun

Umumnya, pantun Melayu terbina dalam bentuk berangkap, mengandungi bahagian pembayang/sampiran dan maksud. Bentuk pantun terbahagi kepada rangkap pantun dua baris/kerat, empat baris/kerat, enam baris/kerat, lapan baris/kerat, dua belas baris/kerat dan tiga puluh baris/kerat. Rima pantun pula tersusun dalam bentuk yang tetap seperti ab/ab atau abc/abc dan seterusnya. Walau bagaimanapun, penciptaan pantun di Alam Melayu memperlihatkan pelbagai ciri kreativiti masyarakat setempat hingga melahirkan beberapa ciri kelonggaran dalam bentuk dan rima pantun yang dihasilkan. Rujuk Harun Mat Piah, 1989, Puisi Melayu Tradisional, untuk huraian terperinci tentang bentuk pantun Melayu. 

Pantun Dua Baris

Ada ubi ada batas,
Ada budi ada balas.

Sebab pulut santan binasa,
Sebab mulut badan merana.

Ahad, 29 Julai 2012

Apa Itu Pantun


Pantun

Pantun ialah bentuk puisi Melayu yang asli dan unik. Ia merupakan sumber khazanah dalam kehidupan masyarakat di Alam Melayu, baik dari segi pemikiran, kesenian, maupun nilai-nilai moral dan sosialnya. Akalbudi orang Melayu dapat dilihat dalam pantun yang diungkapkan secara spontan dengan begitu ringkas dan padat. Ini termasuklah kebijaksanaan dan ketangkasannya menjana makna yang dalam dan mengukir gerak hati serta lukisan rasa yang indah bersama penampilan unsur-unsur alam.

     Pantun wujud dalam pelbagai bentuk dan wajah, dari pantun dua kerat dan pantun empat kerat sehingga ke pantun berkait. Genre ini menduduki tempat yang penting dalam kehidupan masyarakat Melayu, justeru diungkapkan dalam permainan kanak-kanak, dalam percintaan, upacara peminangan dan perkahwinan, nyanyian, dan upacara adapt. Pendeknya setiap tahap kehidupan manusia Melayu, yakni dari dalam buaian hingga ke alam percintaan dan hari-hari tua, dibantu dan dihiasi oleh pantun.

Puisi Melayu


Banyak daripada puisi Melayu tergolong dalam genre tradisional yang muncul dalam zaman sebelum berkembangnya tradisi tulisan pencetakan. Puisi dalam Bahasa Melayu larut dalam jiwa masyarakat Melayu tidak hanya sebagai satu hasil kesenian, tetapi juga mengjangkau alam mistik, berperanan sebagai wadah pemeliharaan adat, pembinaan sahsiah, pengajaran agama, pengajaran ilmu pengasih, pertahanan, hiburan, dan kepercayaan.

Tidak dapat dipastikan tarikh sebenar sejarah mula perkembangan puisi Melayu tradisional. Berdasarkan kajian oleh ramai sarjana, dapat dikatakan perkembangan puisi Melayu tradisional telah bermula secara bersama dan sezaman dengan perkembangan prosa Melayu tradisional. Ini dapat dibuktikan dengan kehadiran banyak genre puisi tradisional dalam karya hikayat dan cerita-cerita rakyat.

Definisi lama puisi ialah karangan berangkap. Karangan ini terikat kepada bentuknya yang khusus dan tetap, sama ada pada jumlah perkataan dalam baris, jumlah baris dalam rangkap, rima dan irama, dan jumlah suku kata. Menurut sasterawan negara, Za'ba, puisi ialah karangan berangkap yang khas dipakai untuk melafazkan fikiran yang cantik dengan bahasa yang indah, dan melukiskan kemanisan dan kecantikan bahasa.